Rabu, 15 Jun 2011
Kesuma Fc Vs Damak Fc
Perlawanan ke-4 bagi Kesuma FC berlangsung pada 26.5.2011 menentang Damak FC di padang Mpk 1B berhadapan dengan masjid negeri Pahang. Kesuma FC telah menurunkan barisan pemain utama dalam separuh masa pertama dengan hamdan kekal penjaga gol utama. Sedikit perubahan pemain di benteng pertahanan dengan memasukkan pemain terbaru Mizan sebagai pertahanan tengah, Boy, Man Lo dan Lan. Tengah kekal Barak, Mamat dan Atan. Thiru dibahagian sayap kiri , Sayap kanan diisi oleh Rusdi dan Aleem sebagai penyerang utama.Perlawanan bermula dengan berhati-hati oleh kedua-dua pasukan dengan strategi yang diatur oleh jurulatih masing-masing didalam mengejar mata kemenangan. Serangan awal dari Damak FC mudah dipatahkan oleh barisan pertahanan kesuma FC. Begitu juga serang balas dari pasukan Kesuma FC berjaya diserap oleh bahagian tengah Damak FC. Kesuma FC berusaha mencari jaringan awal tetapi seringkali barisan depan Kesuma FC terperangkap offsaid dengan lorongan bola kepada penyerang utama gagal melepasi perangkap yang diatur oleh Damak FC. Sesekali penjaga garisan membuat penilaian yang salah terhadap gerakan yang dibuat oleh Kesuma FC dan ini menyebabkan rasa tidak puashati jurulatih dan para pegawai Kesuma FC terhadap pengadilan dalam perlawanan ini termasuk satu gerakan cantik dengan sentuhan dari Aleem yang menerjah jaring Damak FC tetapi penjaga garisan telah mengangkat bendera menandakan Aleem dalam posisi offsaid.Terselamat dengan keadaaan tersebut, Damak FC mengatur gerakan dengan hantaran sederhana dengan sayap kiri digunakan dengan agak kerap. Ini memaksa Mizan bekerja keras mengekang gerakan tersebut sehingga mengalami kekejangan otot peha kanan dan terpaksa dikeluarkan. Amba dibawa masuk mengisi posisi tersebut. Barisan pertahanan kembali mantap dan ini memudahkan barisan tengah mengatur gerak. Tetapi bahagian tengah terutama Barak kerap membuat hantaran pantas melebihi keupayaan penyerang utama Kesuma FC. Ini memberikan peluang kepada Damak FC menyerap tekanan dan kembali mengatur serangan dan hasilnya berjaya menghasilkan gol pertama akibat kesilapan pertahanan tengah yang gagal menahan bola dengan kemas dan penyerang Damak FC berjaya memperdaya penjaga gol Kesuma FC. Permainan separuh masa pertama berakhir 10 minit kemudian. Masa rehat digunakan oleh jurulatih untuk menyusun kembali strategi bagi 45 minit dalam separuh masa kedua nanti. Dua pertukaran serentak telah dibuat dengan Kuchick dibawa masuk menggantikan Aleem selaku penyerang utama dan Mie Unta mengambil tempat Atan diposisi penyerang kedua. Percaturan yang dibuat telah mendatangkan hasil dengan Mie Unta berjaya melakukan penyudahan dengan tenang hasil hantaran cantik dari sayap kiri untuk gol penyamaan. Gol tersebut kembali menyuntik semangat para pemain Kesuma FC dengan berterusan mengatur serangan. Hanya pengadilan yang sedikit mengecewakan telah membantutkan gerakan dari kedua-dua pasukan. Dalam serangan bertali arus oleh Kesuma FC, sesekali Damak FC berjaya memecah benteng kebal pertahanan dan bernasib baik apabila gerakan dari sayap kanan yang melorongkan bola kepada penyerang Damak yang jelas berada dalam keadaan offsaid terus menjaringkan gol kedua untuk mendahului diminit ke 85 permainan. Dengan keputusan yang dibuat oleh penjaga garisan dan pengadil telah menyebabkan permainan kembali tegang dengan Barak gagal mengawal emosi dan layangan kad kuning kedua buat Barak. Ini bermakna gantung satu perlawanan untuk Barak dalam perlawanan menentang PKNP. Pegawai dan pemain Damak FC mula memasang angan-angan untuk mengutip 3 mata kemenangan dengan permainan berbaki kurang dari 5 minit. Tetapi segala-galanya berubah apabila Thiru membuat satu hantaran lencong dari sayap kiri dan Kuchick berada pada kedudukan tepat untuk menanduk masuk bola menerjah jaring Damak FC untuk gol penyamaan yang seterusnya menidakkan kemenangan Damak FC. Kuchick menerima kad kuning terakhir perlawanan kerana terlebih meraikan jaringan dihadapan pegawai dan pemain simpanan Damak FC. Syabas sekali lagi kepada pegawai dan pemain Kesuma FC kerana memberikan persembahan yang memberangsangkan dan mengekalkan rekod tanpa kalah dalam Liga Kuantan 2011!
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)

Tiada ulasan:
Catat Ulasan